Monday, January 17, 2011

Saper nk potong Tangan?

Salam, aku tengok ada segelitir org masih xpaham tentang hukuman potong tgn dlm Hukum pencurian (sariqah) dalam Islam !

Hukum mencuri di dalam Islam adalah termasuk di dalam hukum yang ma’lum minaddin bi dharurah. Hukuman bagi pencuri adalah dipotong tangannya, iaitu sampai batas pergelangan tangan kanan. Dalilnya adalah firman Allah, “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ Al-Maidah (5):38] ‘Curi’ yang ditakrifkan dalam ayat di atas secara perundangan Islam adalah pengambilan harta secara sembunyi dari pemiliknya atau wakilnya, dengan syarat mencukupi nisab potong tangan, dan mengeluarkan dari tempat penjagaan atau seumpamanya, dan tidak ada unsur syubahat terhadap harta tersebut [Nizham Al-‘Uqubat, Abd Rahman Maaliki, hal. 60]. Hukum potong tangan tidak akan dijatuhkan kecuali memenuhi 7 syarat utama:-

Pertama: Menepati definisi mencuri: makna mencuri di sini adalah mengambil harta secara sembunyi-sembunyi dan sorok-sorok. Tidak dikatakan mencuri jika merompak, menggelap wang (pecah amanah), merampas dan meragut. Oleh sebab itu peguam yang menggelapkan wang kliennya tidak termasuk dalam jenayah pencurian yang kena potong tangan. Walaupun mereka ini tidak dikenakan hukuman potong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman takzir, yang mungkin lebih berat dari potong tangan. Kesalahan ini tidak dikategorikan sebagai curi kerana ada hadis.
 Dari Jabir bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda “Tidak dipotong tangan orang yang pecah amanah, orang yang menipu dan perampas” [HR Abu Daud]

Kedua: Barang yang dicuri mencukupi nisab: Cukup nisab adalah syarat minima nilai harta yang dicuri. Jumhur ulama di antaranya Al-Malikiyah, Asy-Syafi`iyah dan Al-Hanabilah sepakat bahawa nisab pencurian itu adalah seperempat dinar atau 3 dirham. Satu dinar adalah setara dengan 4.25 gram emas (24 karat). Dalilnya adalah :
sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dari Aisyah ra. "Tangan pencuri dipotong untuk seperempat dinar atau lebih.” [HR Bukhari & Muslim]. Dari hadis ini dapat dibuat kesimpulan bahawa perkiraan nisabnya adalah ¼ x 4.25g = 1.0625g. Mengikut kiraan, harga semasa emas ialah RM86/g. Jadi, 1.0625g x RM86 = RM91.38. Oleh itu, nisab kecurian sekarang adalah RM91.38. Sekiranya seorang itu mencuri barangan berharga RM90.50 maka tangannya tidak dipotong kerana belum cukup nisab lagi, tetapi dia tetap akan dikenakan hukuman takzir.

Ketiga: Harta yang dicuri adalah harta yang layak dimiliki: Layak (ihtiram) adalah di sisi hukum syarak. Jika seseorang Muslim menyimpan khamar atau khinzir di rumahnya kemudian dicuri, hal ini tidak akan menyebabkan pencuri dihukum potong tangan kerana harta tersebut bukanlah satu pemilikan yang layak untuk orang Islam. Sebaliknya jika dia mencuri harta tersebut dari orang kafir, maka pencuri akan dikenakan potong tangan.

Keempat: Harta dicuri dari tempat penjagaan: Maksudnya barang yang dicuri itu mesti berada di dalam penjagaan, penyimpanan atau pengawasan pemiliknya. Bentuk penjagaan ini terdiri dari dua kategori, iaitu yang pertama, ia dibuat khas untuk menyimpan seperti peti besi untuk perhiasan dan wang, kandang untuk binatang, jelapang untuk padi dan sebagainya yang dimaklumi oleh masyarakat. Yang kedua, memang bukan media penyimpanan khusus namun termasuk cara umum di mana seseorang berada di situ dan orang lain tidak boleh menguasainya kecuali atas izinnya. Contohnya adalah seseorang yang duduk/tidur di masjid dan meletakkan beg di sisinya. Ini termasuk dalam penjagaan. Konsep ‘pengawasan’ terhadap harta ini adalah berbeza antara satu harta dengan harta lain. Ulama fiqih bersepakat mengatakan jika satu pintu stor atau kandang terbuka, atau bahagian dindingnya rosak maka ini akan menghilangkan sifat penjagaan, maka pencuri itu tidak dipotong tangan, namun mereka akan dikenakan hukuman lain. 

Dari Amru bin Syuaib dari bapanya dan dari datuknya berkata “Aku mendengar seorang lelaki dari Bani Muzainah bertanya kepada Rasulullah tentang sangkar yang ada lubang:
Maka Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: Pencuri itu kena bayar 2 kali ganda harganya dan dipukul sebagai teladan balasan seksa, namun jika dia mencuri unta atau kambing dalam pengawasan untuk minum air maka tangannya akan dipotong jika harganya menyamai 8 mijan” [HR Abu Daud]

Begitu juga dalam hadis lain yang menceritakan perihal orang yang mencuri buah semasa berada ditangkai, maka mereka ditakzir dengan nilai dua kali ganda, tapi jika mereka mencuri dari stor maka mereka akan dipotong tangan jika cukup nisabnya.

Kelima: Bukan harta syubahat: Dalam harta yang dicuri tidak ada bahagian hak pencuri atau yang membolehkan pencuri itu memakannya. Ini bermakna tidak dikenakan hukuman potong tangan sekiranya si ayah mencuri harta anaknya atau sebaliknya kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda “Kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu” Rasululah juga bersabda “Sebaik-baik orang itu adalah orang yang memakan hasil usahanya sendiri, dan anaknya juga memakan hasil usahanya.” Seorang yang mencuri harta dari Baitul Mal juga tidak dipotong tangan kerana Baitul Mal adalah harta bersama di mana di dalamnya terdapat hak si pencuri sebagai rakyat meskipun kecil bahagiannya. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah bila seseorang ditangkap kerana mencuri khumus (1/5 dari rampasan perang yang dikhaskan kepada Rasulullah). 

Ibn Abbas menceritakan bahawa kes ini dibawa kepada Rasulullah, tetapi baginda tidak memotong tangannya, sebaliknya bersabda “Harta Allah dicuri di kalangan sendiri” [HR Ibn Majah]. 

Semasa pemerintahan Umar dan Ali juga terjadi kecurian di Baitul Mal namun mereka tidak memotong tangan, kerana kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) di atas harta itu. Begitu juga kalau salah seorang suami-isteri mencuri harta pasangannya, maka hukum potong tangan tidak dijalankan kerana mereka saling berkongsi di dalam pemilikan harta.

Keenam: Pencuri itu akil-baligh dan terikat hukuman dalam Islam. Taklif ini terkena kepada semua orang termasuk kafir zimmi. Bedasarkan hadis:

Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam menyebut dengan jelas bahawa, “Diangkat pena (dosa) dari 3 pihak, orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia baligh, dan orang yang gila sehingga dia berakal”[HR Muslim].

Ini bermakna taklif hukum terkena kepada orang yang berakal dan baligh. Pencuri kanak-kanak atau orang gila tidak akan dipotong tangan. Adapun kafir zimmi maka tangan mereka dipotong sebagaimana Muslim juga.

Ketujuh: Sabit kesalahan mencuri dengan pengakuan atau disaksikan oleh saksi yang adil: Pengakuan mencuri dalam sidang penghakiman akan menyebabkan seseorang itu boleh disabit dengan pencurian.

Dari Abu Umaiyah Makhzumi menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan potong tangan seorang yang datang mengaku mencuri walaupun benda yang dicurinya tidak ada ditangannya. [HR Ahmad].

Manakala jika kes dibawa dan bayyinah (pembuktian) diperlukan, nisab saksi mata untuk kes pencurian adalah 2 orang lelaki atau 1 lelaki dan 2 wanita berasaskan nas umum saksi dalam surah 2:286.

Inilah tujuh syarat hukum potong tangan di dalam Islam. Walaupun hukum potong tangan dijalankan, terdapat syarat lain bahawa si pencuri perlu mengembalikan semula harta yang dicurinya kepada pemiliknya Ini berasaskan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Apabila dicuri dari seseorang bekalannya, maka harta itu ditemui pada orang lain (pembeli), maka dia berhak mengambilnya, manakala penjual akan mengembalikan wang harganya kepada pembeli itu” Ini menunjukkan wajib harta yang dicuri dikembalikan kepada tuannya. Jika barangan itu binasa atau hilang maka kewajipan keatasnya membayar harga yang setimpal. Dan apa-apa kerugian yang diakibatkan oleh kecurian itu akan dikira dan pencuri wajib menggantikannya.

5 comments:

Fiqah Alias said...

a'ah..btol3..slame nie org islam sndiri pon xtau pasai hukum islam nie..ada plak sesetengah pihak yg siap persenda ag hukum islam nie..

"sape nk mkn sup tangan...p kelantan..."

huhu..ce same2 kte pk kn..andai depa2 dok tgk hukuman potong tgn tu,ada ke makin berebut2 plak yg nk p mencuri kn..?? insyaallah x..sbb insyaallah Allah akn tutupkn pintu ht depa utk mencuri..sesungguhnya Allah maha Mengetahui..

wallahu'alam..juz pndapat...(^.^)v

Unknown said...

ha,.aki de pernah nmpak org meragut pstu kena tangkap,.drg belasah smpi mati kowt! mmg la saiah kn, tp kte mne bole hukum org suka ati je,..

ade lagi aki bace, budak curi roti, tangan kene ptg,.gile!

Unknown said...

kalu kat malaysia wat confom xde yg brani nak curi hehe

NK said...

memang ramai yg xtahu tentang hukum ini..senang cakap kita tengok saja hukum huduh..bila sebut saja hukum hudud semua kata..eh xboleh dijlnkan di msia, sbb kita lain2 agama, xkn cina india nk kena potong tangan jugak..kalo dilihat pd sirah nabi, rasulullah di zaman itu macam - macam mazhab ada, mcm2 puak ada, kabilah itu ini, tapi boleh pulak hukum hudud dijlnkan? sampai ada yg menyelar hukum hudud x wujud dlm islam..tengok saja dlm al-quran, saya dh lupa surah mana..tp ada menyebut tentang hudud dan saya sangat hairan kenapa org islam sendiri ingin mempertikaikannya...semoga kita semua sentiasa mendpt kerahmatan allah s.w.t

Wan Gerrard said...

potong je tgn org suka meragut ni huhu